"Segala puji bagi
Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar, dan bertaubat
kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan
keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya,
maka tidak ada sesiapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang
disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberi hidayat
kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha
Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah
hamba dan Rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu wahai hamba-hamba Allah
supaya bertaqwa kepada Allah dan menggesa kamu supaya mentaati-Nya."
Aku membuka
khutbahku ini dengan muqaddimah yang baik. Wahai manusia! Sila dengar
apa yang akan kukatakan ini. Aku tidak tahu adakah aku akan dapat
bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.
1. Sesungguhnya
darah kamu,harta benda kamu, dan kehormatan diri kamu telah terpelihara
(diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini, dan Bandar
ini (Makkah dan kawasan sekitarnya).
2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.
3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakiku (yakni telah dihapuskan).
4. Tuntutan hutang
darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan
darah pertama yang aku batalkan adalah darah Ibnu Rabi’ah bin al-Haris
yang telah disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
5. Riba adalah haram
dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh
Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.
6. Wahai manusia!
Takutilah Allah SWT dalam urusan yang berkaitan dengan wanita.
Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah
SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimat Allah. Wajib
ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada
melakukan perbuatan buruk, jika mereka lakukannya, maka kamu berhak
untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan.
Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas
kamu menjaga makan-pakai dengan baik.
7. Semua orang
mukmin adalah bersaudara. Oleh itu, tidak halal bagi seorang muslim
mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada
tuannya.
8. Jangan kamu
kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada
kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan kamu suatu
panduan. Jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak
akan sesat selama-lamanya yakni al-Quran dan as-Sunnah.
9. Wahai manusia!
Sesungguhnya tiada nabi lagi selepasku dan tiada lagi umat selepas
kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan
menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, serta
mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke
Rumah Suci Tuanmu (Kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.
10. Tuhan kamu
adalah Maha Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal
daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang
paling baik dalam kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa
terhadap Allah. Tiada kelebihan bagi bangsa Arab berbanding bangsa lain
kecuali dengan taqwa.
11. Allah SWT telah
menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati. Oleh itu,
tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat
Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya
yang sebenar, juga laknat daripada para malaikat dan seluruh manusia.
12. Kemudian kamu
akan disoal tentang aku. Maka apa yang kamu jawab? Mereke menjawab,
“Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan
risalahmu”. Baginda SAW lalu mengangkat tangannya ke langit dan
menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah!
Saksikanlah”. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang
mengulang kembali ucapan Rasulullah SAW dengan kuatnya di Arafah ialah
Rabi’ah bin Umayyah bin Khalaf r.a.
No comments:
Post a Comment